Tuesday, August 25, 2009

Hembusan Nafas



Tepat jam 12 tengah malam Ahad yang lalu,telefon bimbitku berdering menandakan ada pesanan ringkas buatku. Bunyi yang memenuhi segenap ruang kamar aku biarkan terus beralun. Perasaan malasku mengatasi perasaan ingin tahu yang membuak-buak di kala itu. Namun akhirnya,aku tewas juga lantaran dihambat rasa ingin tahu pemberi pesanan ringkas buatku di waktu begini. 'Mungkin penting' desis hati kecilku. Lalu,dengan langkah yang longlai aku menuju ke meja,mencapai telefon bimbitku yang terletak rapi di sudut meja. Sebuah pesanan yang cukup ringkas buatku. "Happy Birthday" beserta grafik yang menggamit hati dari kakak yang turut berkongsi tarikh lahir yang sama denganku. Hari jadiku,bererti hari jadinya juga. Mata yang separuh sedar itu akhirnya terkebil-kebil menatap pesanan ringkas itu buat kesekian kalinya. Ya Allah, 23 ogos! 'Macam mana boleh terlelap ni?' bentak hati kecilku.

Bibirku mula menguntumkan senyuman saat akal warasku mula menjalankan tugasnya. Lantas laju sahaja jari-jemariku menari di atas papan kekunci telefon bimbitku untuk mengucapkan selamat juga padanya. Tidak lama selepas itu,bertalu-talu pesanan ringkas yang bertandang daripada teman-teman mengucapkan selamat buat diri ini. Ya Tuhan,dari hati yang tulus ikhlas,aku benar-benar terasa syahdu untuk hari lahirku buat kali ini. Hiba menyelubungi kalbu tatkala malam melabuhkan tirai. Mereka masih ingat tarikh penting buat diriku ini,Ya Tuhan! Terharu! Sesungguhnya,itulah perkataan yang tepat bagiku kala itu. Mungkin kerana hari lahirku tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya. Ya,hari lahirku disambut dalam bulan yang mulia. Tahun ini juga merupakan penghijrahan terbesar bagi diriku. Sayu,tiada kata yang mampu aku lontarkan namun tiada pula mutiara jernih di kelopak mata ini mahu menitis. Aku biarkan diri terdiam seketika.

Tidak ketinggalan,teman-teman yang baru aku kenali di sekolah baru juga tidak lupa tarikh keramat itu. Bertuahnya aku, dikelilingi insan-insan yang menyayangi diri ini. Malam itu,aku menjadi insan paling lemah. Entah kenapa,hatiku menjadi terlalu rapuh malam itu. Doa yang tidak-tidak putus aku panjatkan kepada Yang Maha Mendengar,kerana dengan izinNya aku masih diberi kesempatan bernafas di atas muka bumi yang indah ini. Aku bersyukur kerana aku masih lagi berpeluang meneruskan ibadah,melaksanakan tanggungjawabku sebagai hambaNya. Paling penting, aku bertuah kerana aku masih sedar siapa aku.
Selamat hari lahir ke-16, Izzatul Nazihah Bt Yahya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...