Wednesday, November 25, 2009

Berdiri Kabur


Entah kenapa pena berkuku ini terpanggil untuk melakar sesuatu pada papan blog. Katanya,supaya lakaran yang terpampang tidak kaku dan mati. Kata siapa? Kata hati pasti. Jiwa seni bukan aku,sudah tentu. Artistik merdu gelap dari bayangan aku,sudah pasti. Jadi aku perlu ingatkan mereka lakaran aku bukan sesuatu yang layak disandarkan kata-kata keramat.

Aku rindu. Yang mampu aku lakukan? Memburu setiap saat yang ada supaya aku boleh membaca setiap sisi kehidupan. Menyemak kandungan kembara yang aku susuri. Yang mana hitamnya, yang mana putihnya. Ada atau tidak cela yang perlu aku putihkan supaya mereka yang melintas tidak terkena tempias. Aku kini melihat dunia dari satu visi yang tidak pernah terjangka oleh manusia jahil seperti aku.

Lorong yang sempit aku lebarkan. Supaya akal waras tidak hanya bertiang pada satu paksi. Walau aku cuba mengelak dari ditikam sebuah perkataan itu, dan walau sekeras mana aku cuba menegakkan yang tumbang, suara yang tersimpan kemas menganggukkan kebenaran hakikat itu. Aku bukan ikan yang masih tetap tawar sungguhpun lautan masin menjadi santapan sehari-hari. Ya,aku akui kelemahan itu.

Aku orang yang baru. Mungkin tidak secara radikal, tapi aku sendiri dapat menyentuh kelainan itu. Bukan mahu mempersenda diri tapi hakikat mana yang mampu dibuang? "Kau dah lain". Itulah permainan minda yang sering menyapa beberapa hari ini. Bibir menyangkal,tapi tidak hati . Permainan zahir cekap bersilat dengan tingkah halus, bukan aku. Pemain yang rapuh macam aku lebih senang mencari bendera putih. Sama ada helaian baru ini hitam atau putih untuk aku,biar mereka yang mengangkat tanda. Selayaknya aku hanya melihat.

Tanah tak rasa macam tanah. Kaki terasa ringan. Tangan tak berhenti menari. Oh, jauh aku menyusup skrin lebar ni. Tak sedar yang jasad aku tertinggal depan skrin. Aku rindu yang dulu tapi juga cintakan yang kini. Bila di sana, aku bahagia. Syukur berpeluang ada rasa sebegitu. Bila di sini, harapanku aku tak pernah tinggalkan tawa bahagia mereka. Aku mahu kedua-duanya dalam genggaman. Tak adilkah aku?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...